KUALA LUMPUR, 30 September - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited menjadi peneraju mengerakkan negara ke arah ekonomi berteknologi tinggi berasaskan inovasi, selari dengan visi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata ke arah itu MOSTI akan menumpukan beberapa bidang keutamaan merangkumi semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan vaksin bagi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar.
"MOSTI sentiasa mengiktiraf modal insan sebagai sumber paling bernilai bagi negara, sebagaimana yang terkandung dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang menekankan Bakat STI Adaptif sebagai teras utama. Komitmen kami terhadap pembangunan bakat jelas dizahirkan melalui pelaburan besar dalam dua bidang kritikal: melahirkan bakat masa depan dalam sains dan teknologi serta memperkasa kepakaran industri dan profesional" katanya.
Beliau berucap demikian selepas merasmikan MBOT Expert Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE) 2025 yang turut diraikan oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di sini, hari ini.
Tambah Chang, setakat ini MBOT mempunyai lebih 105,000 profesional bertauliah manakala ENTICE 2025 menjadi platform untuk pembuat dasar, pemimpin industri, teknologis, dan pendidik membincangkan strategi pembangunan bakat serta inovasi masa depan.
Pada majlis tersebut juga turut dilancarkan “Badges of Progress: A Lens on Technology and Technical Talents in Malaysia, hasil kajian MBOT dan Khazanah Research Institute (KRI) mengenai impak sosio-ekonomi pengiktirafan profesional.
Bertemakan “10 Years of Uplifting Tech-Talents”, majlis meraikan pencapaian MBOT serta mengiktiraf golongan teknologis dan juruteknik sejak penubuhannya pada tahun 2015 di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015.
Antaranya Anugerah Teknologis Negara 2025, Anugerah Juruteknik Negara 2025, MBOT Woman Leadership Award dan MBOT Inspiring Technician Award 2025.