KUALA LUMPUR, 14 Mei- Monsun Barat Daya dijangka bermula Jumaat ini dan berterusan sehingga September.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata monsun terbabit akan menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
Orang ramai diingatkan untuk tidak membuat pembakaran terbuka bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.
Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh berkenaan.
Tambahnya, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.
Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi jabatan dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia di talian 1-300-221638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.