fb fb fb fb fb

Mohd Nor Khalid dinaikkan pangkat Staf Sarjan

Pemakaian pangkat Sarjan Mohd Nor Khalid disempurnakan oleh Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan serta isteri Mohd Nor Khalid / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 November -Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Sarjan Mohd Nor Khalid yang menyelamatkan empat remaja hampir lemas di tasik Taman Lautan Samudera  Puncak Alam, Selangor Ahad lalu dinaikkan pangkat kepada Staf Sarjan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, kenaikan pangkat itu sebagai penghargaan kepada Sarjan Mohd Nor atas keberanian luar biasa yang dipamerkan.

“Tentera Darat merasa bangga atas tindakan pantas dan keberaniannya yang tidak menghiraukan keselamatan diri sendiri demi menyelamatkan orang lain yang lebih memerlukan," katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan Mohd. Nor Khalid di Wisma Pertahanan hari ini.

Menurutnya keberanian Sarjan Mohd Nor seharusnya dijadikan contoh kepada anggota TDM dan diharap dapat memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menceritakan semula kejadian itu , Sarjan Mohd Nor memberitahu beliau menerima maklumat menerusi grup WhatsApp Taman 2B3 mengenai empat remaja lelaki yang hampir lemas selepas sampan dinaiki ketika memancing,karam.

"Dalam tempoh 45 minit menunggu pasukan penyelamat itu, saya fikirkan benda-benda buruk yang akan berlaku, jadi saya beranikan diri dan tawarkan diri untuk menyelamatkan mereka.

Dengan tawakal hati saya beranikan diri turun ke tasik untuk selamatkan mereka, kerana di fikiran saya adalah nyawa remaja itu, "katanya.

Anggota Pasukan 41, Bateri Rejimen Artileri Diraja di Kem Sungai Buloh itu berkata kesemua mangsa terpaksa berpaut pada bahagian belakang badannya kerana mereka tidak boleh berenang.

Beliau turut bangga kerana dapat mengharumkan nama Tentera Darat.

Trainee