KULAI, 29 Oktober- Kementerian Kewangan (MOF) mengesyorkan Kementerian Pendidikan (KPM), mewujudkan subjek baharu mengenai keusahawanan dan kewangan di sekolah menengah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan tersebut sebagai usaha
memastikan generasi muda celik kewangan sekali gus menarik minat mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kita mahu orang muda memahami tentang subjek ini dengan lebih berstruktur dan sistematik, saya kira ramai yang akan mendapat faedah jika celik kewangan dan keusahawanan untuk masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Johor di sini hari ini.
Ahmad berkata susulan itu, jawatankuasa Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) akan berbincang dan melakukan kajian awal terhadap pengenalan subjek baharu tersebut.
Tambahnya pemilihan agar ia dilaksanakan di peringkat sekolah menengah adalah seiring dengan kadar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negara ini iaitu kira-kira 500,000 orang setiap tahun.
“Daripada jumlah itu, hanya 40 peratus ada Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma, ijazah dan ke atas, ini bererti 60 peratus lagi hanya ada SPM.
"Bayangkan jika 60 peratus ini mempunyai ilmu kewangan dan keusahawanan, ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka daripada tertekan untuk mencari rezeki dan lebih bijak dalam mengurus kewangan,” katanya.