
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Kementerian Kewangan (MoF) bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menangani isu peruntukan, antaranya dengan mengatur semula peruntukan berdasarkan keutamaan.
- MoF mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk menampung keterlebihan komitmen KKDW.
- Kekangan pembayaran kepada kontraktor berlaku kerana peruntukan tahun semasa hampir habis.
- MoF meluluskan tambahan RM300 juta bagi 2026 untuk menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
- Tiada sekatan ke atas peruntukan untuk jalan luar bandar; peruntukan telah disalurkan sepenuhnya.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menerusi kenyataan memaklumkan, MoF turut mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi membantu menampung keterlebihan komitmen KKDW.
“Pada masa sama, MoF juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW,” katanya menerusi kenyataan itu.
Menurutnya, langkah berkenaan susulan kekangan proses pembayaran kepada kontraktor apabila peruntukan tahun semasa KKDW telah dibelanjakan hampir sepenuhnya.
Tan Sri Johan berkata, MoF turut meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi tahun 2026 untuk membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
“Tiada sebarang sekatan telah dibuat ke atas peruntukan KKDW berhubung jalan luar bandar. Peruntukan tersebut telah disalurkan sepenuhnya.
“Kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telahpun dibelanjakan hampir sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, setiap kementerian bertanggungjawab merancang dan mengurus perbelanjaan berdasarkan peruntukan belanjawan tahunan yang telah diluluskan Parlimen.
Menurutnya, KKDW sejak beberapa tahun lalu telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.
“Berdasarkan rekod MoF, perbelanjaan KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding RM1.1 bilion peruntukan, manakala 2024 mencatat RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion,”jelasnya.
“Pada 2025 pula, perbelanjaan sebenar KKDW berjumlah RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion peruntukan, manakala 2026 merekodkan RM1.9 bilion hingga Jun berbanding RM2.1 bilion diperuntukkan,” tambah kenyataan itu lagi.