fb fb fb fb fb

MOF sumbang 25 bot kepada 10 kampung di Hulu Besut

Program Penyerahan Bot Bagi Menghadapi Banjir/Foto RTM

BESUT, 12 September - Kementerian Kewangan (MOF) menyerahkan 25 buah bot bernilai keseluruhan RM200,000 untuk kegunaan lebih 5,000 penduduk di 10 kampung di mukim Hulu Besut sebagai persiapan menghadapi bencana banjir pada musim Monsun Timur Laut akan datang.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) MOF Ramzi Mansor berkata, antara 10 perkampungan tersebut adalah kampung Batu 13, Keruak, Cawangan dan Kampung Panchur yang terletak di Hulu Besut. 

Ramzi berkata sebanyak 10 buah bot diserahkan pada program hari ini manakala 15 buah bot lagi diserahkan pada Oktober.

“Kita juga telah berbincang dengan Majlis Daerah Besut sekiranya bot ini akan digunakan sebaiknya meskipun bukan pada musim banjir seperti untuk membawa pelancong dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan kesemua bot diserahkan kepada Pejabat Daerah Besut.

Sementara itu, beliau berkata selari dengan inisiatif kerajaan memperkenalkan Kampung Angkat MADANI di bawah Belanjawan 2024, MOF telah memilih tiga buah kampung angkat termasuk Kampung Batu 13 di Hulu Besut, bagi melaksanakan pelbagai projek dan kemudahan mengikut keperluan.

Selain penyerahan bot, program Kampung Angkat MADANI turut menyaksikan penduduk menerima pelbagai manfaat termasuk pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB).

Pegawai Daerah Besut Ahmad Nazwawi Harun turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada MOF atas sumbangan bot serta memilih kampung di daerah Besut sebagai Kampung Angkat MADANI.

“Kita ada Jawatankuasa Pengurusan Banjir jadi biasanya ia di bawah kelolaan penghulu mukim. Mereka akan tengok macam mana agihan bot untuk membantu operasi pemindahan dan bantuan ketika banjir,” katanya.

Trainee