fb fb fb fb fb

Modi gesa kajian semula FTA ASEAN-India diselesai waktu ditetapkan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama rakan sejawatnya Narendra Modi

NEW DELHI, 20 Ogos - Perdana Menteri India Narendra Modi menggesa kajian semula perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN-India diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan.

Bercakap pada sidang media bersama-sama rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hyderabad House, New Delhi Modi menekankan peranan penting Malaysia dalam ASEAN dan wilayah Indo-Pasifik.

Jelas beliau India sangat menyokong pemusatan ASEAN di rantau ini.

Beliau mengesahkan sokongan penuh India terhadap jawatan pengerusi ASEAN yang akan datang oleh Malaysia pada 2025.

India dan ASEAN telah mengadakan beberapa pusingan rundingan untuk membuat perubahan kepada Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) untuk menjadikan FTA lebih memudahkan perdagangan dan bermanfaat untuk perniagaan di seluruh rantau ini.

Perbincangan tersebut bermula pada Mei 2023.

Dalam pada itu Modi mengumumkan, penubuhan kerusi pengajian Thiruvalluvar di Universiti Malaya sebagai penghormatan kepada penyair dan ahli falsafah Tamil yang dihormati, Thiruvalluvar.

Beliau juga menyebut bahawa kedua-dua pemimpin telah membincangkan peluang baharu untuk kerjasama pertahanan.

Modi menekankan pentingnya tiga juta diaspora India yang kuat di Malaysia, menyifatkannya sebagai 'jambatan hidup' antara kedua-dua negara.

Beliau mengumumkan bahawa India akan memperuntukan 100 kerusi kepada calon Malaysia di institusi pendidikan India untuk mempelajari mata pelajaran lanjutan seperti keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI).

TETITIA YUSOFF