fb fb fb fb fb

MMA sambut baik penambahan jawatan tetap KKM

KUALA LUMPUR, 11 Februari - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik pengumuman penambahan jawatan tetap di Kementerian Kesihatan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai optimis langkah itu akan memberi impak baik dalam menjaga kesihatan rakyat khususnya dalam penularan pandemik COVID-19.

"Apabila berlaku keadaan luar jangka, satu perancangan yang lebih khusus diperlukan, walaubagaimanapun dengan penambahan bilangan jawatan yang ada serta pertambahan yang akan berlaku setiap tahun negara lebih bersedia untuk menghadapi keadaan seperti pandemik COVID-19.

"Pertambahan jawatan ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya sehingga kita mencapai nisbah doktor kepada penduduk yang dikehendaki dalam penjagaan kesihatan sejagat," katanya kepada RTM.

Beliau juga yakin pengumuman itu akan memberi suntikan moral dan semangat kepada pegawai berkaitan untuk melaksanakan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat.

Sekali gus, mengurangkan beban tugas pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.

Semalam KKM mengumumkan sekurang-kurangnya 8,686 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

Media Baharu