ARAU, 23 Januari- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diharap dapat membantu negeri Perlis sepenuhnya dalam aspek pelaburan bagi merancakkan lagi ekonomi negeri Perlis sama ada pelaburan dari dalam atau dari luar negara.
Pengalaman dan kepakaran MITI dapat menarik minat pelabur dalam meningkat ekonomi Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah MITI disasar untuk membuat pendedahan yang meluas tentang peluang-peluang pelaburan yang ada di Perlis kepada pelabur-pelabur luar.
Langkah itu penting untuk memberi pendedahan dalam aspek pelaburan di negeri utara tanah air itu sekali gus dapat dikembangkan dengan lebih luas lagi.
"Selain itu, memperkuat jaringan dan hubungan antara pelabur bersama pihak MITI dan negeri Perlis, terutama dalam memperkasakan projek-projek yang ada di negeri Perlis agar pelabur lebih berminat untuk masuk melabur di negeri Perlis," titah baginda ketika menerima mengadap Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong di Bilik Tuanku Canselor, Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam Pauh Putra.
Tuanku Syed Faizuddin menaruh harapan agar MITI sentiasa berkongsi dengan Perlis melalui visi dan misi terutama pelan jangka panjang untuk terus memastikan kaedah pelaburan kekal relevan dalam mencari peluang menambah pelabur luar masuk ke negeri berkenaan.