fb fb fb fb fb

Minta rasuah luluskan kontrak, penjawat awam direman dua hari

Foto RTM

KOTA BHARU, 6 Jun- Seorang pengarah sebuah agensi kerajaan direman dua hari bermula hari ini sehingga esok, bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah bagi meluluskan kerja-kerja kontrak kepada pelanggan bernilai hampir ratusan ribu ringgit.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid selepas permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, pukul 8.20 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan diiringi dua pegawai.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain berkata suspek ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Kelantan petang semalam.

Katanya, penahanan lelaki itu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Semalam, media melaporkan pengarah berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung meminta wang suapan sebagai imbuhan bagi meluluskan kerja-kerja kontrak kepada pelanggan jabatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM