Minggu pertama Ramadan, tapak penjaja Tanjung Tokong lengang

FOTO RTM

TANJUNG TOKONG, 20 Februari – Memasuki minggu pertama Ramadan, tinjauan RTM di Tapak Penjaja Sementara mendapati suasana lengang dengan penurunan ketara jumlah pembeli.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tapak penjaja Tanjung Tokong lengang pada minggu pertama Ramadan, dengan pengurangan ketara jumlah pembeli.
  • Peniaga terjejas pendapatan kerana ramai berpindah berniaga di bazar Ramadan dan selepas musim perayaan.
  • Kenaikan harga sayur dan ayam memaksa pembeli berjimat serta membandingkan harga di lokasi lain.

Meskipun bekalan barangan mentah seperti daging ayam, santan, dan sayur-sayuran dilaporkan mencukupi, faktor lokasi selain kenaikan harga barangan tertentu dilihat menjadi antara punca kawasan itu kurang dikunjungi.

Bagi para peniaga, ketiadaan pelanggan yang konsisten selepas musim perayaan Tahun Baharu Cina dan permulaan Ramadan amat dirasai sehingga menjejaskan pendapatan harian mereka.

Peniaga, Mohamad Ratan Mohd Nayan berkata keadaan pasar ketika ini amat sunyi berbanding sebelum ini.

“Keadaan pasar, sungguh sunyi, sunyi dan sepi. Peniaga yang banyak. Nak kata pembeli kurang sebab mungkin pasar ni tak dipamerkan, orang tak tahu. Menurun… Orang kata tambah bulan puasa ni lagi sepi. Sekarang, barang sekali naik RM2, RM3. Dulu naik sekupang orang dah marah. Bila kita dah pindah, sekali naik barang RM3, takkan kita naik juai ni (harga), kita mesti naik. ”

Seorang lagi peniaga, Ruzita Mansor memaklumkan jualan sepanjang Ramadan agak perlahan kerana sebahagian peniaga memilih berniaga di bazar Ramadan, sekali gus mengurangkan kehadiran pelanggan tetap di tapak berkenaan.

“Buat masa sekarang ni kalau bulan Ramadan tu meniaga tu perlahan sedikitlah, sebab banyak peniaga yang tak meniaga, depa meniaga pasar Ramadan, jadi menurun sedikitlah. Sekarang RM11 lah sekilo sebab harga pun tinggi kan. Untuk bekalan tu tak ada apa, biasa, tak ada masalah apa.”

Sementara itu, peniaga santan, Noriah Arshad berkata permintaan terhadap santan masih stabil, namun jumlah pelanggan keseluruhan di pasar berkurangan berbanding sebelum Tahun Baharu Cina.

“Santan permintaan okey la kan, cuma pelanggan untuk pasar kurang. Sebelum raya Cina boleh tahan jugak, puasa kedua ni macam ni lah kurang orang kan. Mungkin kalau nak raya kita ni Insya-Allah ada lah kan sebab santan ni orang dok buat macam-macam, ketupat apa kan. Bekalan Alhamdulillah ok. ”

Dalam kalangan pembeli pula, kenaikan harga sayur-sayuran dan ayam menyebabkan mereka lebih berhati-hati dalam merancang perbelanjaan serta membuat perbandingan harga di lokasi lain.

Zaliha Mohamed berkata harga ayam boleh mencecah sekitar RM20 seekor, manakala sayur-sayuran seperti kubis dan buncis turut mengalami kenaikan.

“Harga memang mahal. Ayam sekor tengoklah RM20 ka, potong kecik saja. Sayur macam kubis, buncis memang mahallah harga dia. Ada tempat lain ada setengah barang yang mahai, ada setengah yang murah. ”

Bagaimanapun, seorang lagi pembeli, Muhammad Fuzi Saad berpendapat harga di situ masih berpatutan dan tidak banyak berubah berbanding sebelum ini.

“So far I think kat sini okey, berbanding dengan dulu sama lebih kurang. Hari ni saya beli kue tiau, sayur kucai untuk buka puasa malam ni. Yang ni semua lebih kurang tadi saya beli 4 bungkus kue tiau lebih kurang dalam dengan semua ni dalam RM13, campur dengan tauge apa semua lah.”

Secara keseluruhan, peniaga berharap kehadiran pelanggan akan meningkat menjelang sambutan Aidilfitri nanti.