MACHANG, 8 Julai - Kementerian Pertahanan menyasarkan seramai 1,400 anggota veteran menyertai Program Veteran Desa Madani (VDM) seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata objektif utama pelaksanaan VDM adalah bagi membantu golongan B40 dalam kalangan veteran asnaf Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memerlukan bantuan dari segi kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan.
Beliau berkata program itu juga berfungsi sebagai platform kolaborasi antara kementerian dan kerajaan negeri dalam usaha menyampaikan bantuan kebajikan kepada para veteran terpilih secara khusus dan masyarakat setempat secara amnya.
"Kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan juga agensi di bawah Mindef termasuk Klinik Kesihatan untuk dibawa ke kawasan luar bandar.
"Sebagai permulaan, kita akan adakan tujuh siri program (VDM) di seluruh negara tahun ini melibatkan 200 veteran ATM setiap siri dan kita sasarkan 1,400 veteran ATM akan menerima manfaat.
"Kita akan lihat maklum balas dari semasa ke semasa mengenai program ini dan akan tambah baik kerana program VDM melibatkan veteran ATM yang berada di luar bandar untuk membantu meringankan beban mereka dan keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi rumah veteran ATM Hassan Ahmad, 63 tahun, di Kampung Chekok, Temangan, Machang pada Ahad.
Katanya lagi, program VDM juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti serta memudah cara proses permohonan sumbangan yang diperlukan berdasarkan skim kebajikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.
"Selain menyampaikan bantuan seperti barangan keperluan kepada veteran ATM, program VDM juga mengenal pasti fasiliti keusahawanan yang berkaitan," katanya.
Menurut beliau, tahun ini setakat 31 Mei lepas seramai 29,247 veteran ATM menerima peruntukan sara hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 juta.
"Kerajaan komited meningkatkan peruntukan JHEV ATM daripada RM118 juta kepada RM224 juta pada tahun ini untuk memberi manfaat yang lebih luas kepada veteran ATM," jelasnya lagi.