fb fb fb fb fb

MINDEF puas hati kemajuan LCS, capai 72.62 peratus

Kapal tempur pesisir (LCS) pertama dijangka siap menjelang akhir tahun ini, mengikut jadual yang ditetapkan dalam kontrak/ BERNAMA

LUMUT, 11 Mac- Kementerian Pertahanan (MINDEF) berpuas hati dengan tahap kemajuan pembinaan lima buah kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, secara keseluruhan, projek berkenaan telah mencapai tahap 71.62 peratus.

Meskipun berlaku sedikit kelewatan berbanding jadual asal, pihaknya tetap berpuas hati dan akan sentiasa memantau rapat aktiviti pembinaan kapal-kapal tersebut.

"Memang ada sedikit kelewatan, tetapi hanya dalam 1.68 peratus secara keseluruhan kelima-lima kapal, dan ia disebabkan bekalan peralatan yang sepatutnya dibekalkan oleh pihak pengeluar peralatan asal (OEM).

"Pada masa sama kementerian akan terus memantau dengan kehadiran dan lawatan seperti ini. Projek ini sangat penting untuk negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS), di Pangkalan TLDM Lumut, di sini.

Kapal LCS pertama akan diserahkan kepada TLDM pada Ogos tahun depan mengikut perancangan sebelum ini.

Sementara itu bagi Kapal LCS kedua, ia akan diluncurkan ke permukaan air pada Mei depan manakala LCS ketiga pada Januari 2026.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI