fb fb fb fb fb

MHS terima permohonan maaf, ingatkan kepentingan hormati sensitiviti agama

Foto MHS

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Malaysia Hindu Sangam (MHS) menerima permohonan maaf secara terbuka daripada penyampai radio swasta berhubung video tular yang didakwa menghina sensitiviti penganut agama Hindu.

Dalam satu kenyataan, MHS menegaskan insiden tersebut harus menjadi pengajaran kepada semua agar sensitiviti agama sentiasa dihormati.

“MHS mengecam kandungan video berkenaan dan telah membuat laporan polis kerana ia berpotensi menjejaskan keharmonian serta perpaduan negara,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MHS menyeru semua rakyat Malaysia supaya menjadikan isu tersebut sebagai iktibar tentang kepentingan menghormati setiap agama dan budaya.

MHS juga mengingatkan penggiat media serta pencipta kandungan agar lebih peka dalam membincangkan isu berkaitan agama dan budaya bagi mengelakkan insiden yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial menyeru agar isu berkenaan diselesaikan dengan semangat keharmonian dan saling memaafkan.

Menerusi hantaran di platform TikTok eirasyaziraofficial, pengguna menyatakan harapan agar kontroversi itu berakhir dengan perdamaian.

“Terima kasih kepada kaum India yang memberikan komen positif kepada keluarga kecil ini. Jujur saya baca komen, saya sedih. Terima kasih kerana menjadi orang baik. Doakan keluarga Pak Azad kuat dan tabah dalam ujian ini,” kata seorang pengguna, Lili Asmarina.

“Kak, saya pun mula-mula marah Kak Pak Azad sebab saya peminat dia… tapi bila dia sudah minta maaf, saya kira selesai. Minta maaf dan memaafkan adalah perkara mulia sebab bukan semua mampu buat… Stay strong, Pak Azad,” kata Shilaan_jr.

“Manusia mana tak buat salah… Bila Pak Azad dan pasukannya turun mohon maaf, patut tidak dibesarkan. Kita pun kena kenal yang mana sengaja dan yang mana tersalah buat konten. Harap isu ini selesai di sini sahaja,” kata Yoganlal Thayalal.

Hantaran tersebut menerima lebih 4,000 komen, 68.6 ribu tanda suka, dan 1,557 perkongsian, mencerminkan pelbagai reaksi masyarakat terhadap isu tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN