PUTRAJAYA, 24 Ogos – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati orang ramai supaya tidak bimbang susulan kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Johor pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah MetMalaysia, Ambun Dindang berkata pihaknya akan terus memantau keadaan serta mengeluarkan makluman berkaitan gempa bumi dan cuaca terkini dari semasa ke semasa.
“Setakat ini kita tidak merekodkan sebarang gegaran susulan dan tidak menjangkakan gegaran lebih besar. Orang ramai tidak perlu bimbang. Maklumat mengenai aktiviti gempa bumi boleh diperoleh melalui laman web serta media sosial rasmi MetMalaysia. Kita sentiasa memantau dan akan menyebarkan maklumat sebaik sahaja kejadian berlaku,” katanya.
Beliau menjelaskan, gegaran kedua bermagnitud 2.8 pada skala Richter direkodkan di kawasan Yong Peng, Batu Pahat, kira-kira 28 kilometer barat laut Kluang pada pukul 9 pagi tadi.
Analisis MetMalaysia turut mendapati gempa bumi pertama bermagnitud 4.1 yang berlaku di Segamat pada pukul 6.13 pagi tadi berpunca dari Zon Sesar Mersing.
Ambun berkata demikian ketika dihubungi Berita RTM.