fb fb fb fb fb

Metadologi PAKW kurangkan risiko keciciran pengagihan bantuan isi rumah

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 5 Mac- Konsep pendapatan perbelanjaan boleh guna bersih diyakini dapat mengurangkan risiko keciciran pengagihan bantuan kepada isi rumah yang layak.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kaedah itu menggunakan metadologi Pendapatan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dengan mengambil kira kos sara hidup yang diukur berdasarkan gaji wajar.

"Cadangan peralihan ini adalah untuk memastikan penyampaian dasar sosioekonomi yang lebih cekap dan berkesan.

"Selain itu, kerajaan juga mempertimbangkan penggunaan pendekatan berasaskan indeks dalam menentukan kelayakan penerimaan bantuan sosial dan kemiskinan.

"Pendekatan berasaskan indeks akan mengambil kira kelayakan penerima bantuan secara lebih luas, tidak hanya tertumpu kepada pendapatan isi rumah," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Rafizi menyeru orang ramai agar segera mendaftar dalam Pangkalan Data Utama (PADU) dengan mengisi maklumat pendapatan dan perbelanjaan isi rumah secara terperinci, sebelum atau selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.

Ia bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti tahap kedudukan sosioekonomi rakyat dengan lebih jelas menerusi pendapatan boleh guna bersih.

"Tujuan kerajaan beralih daripada pelarasan berasaskan pendapatan semata-mata iaitu B40, M40 dan T20 kepada pendapatan boleh guna bersih kerana kita sedia maklum bahawa itu bukanlah gambaran yang sebenar ataupun adil mengenai kedudukan sosioekonomi sesebuah keluarga.

"Sebab itu, ada yang sebelum ini M40 tapi bila dilihat lokasi, tanggungan, jumlah isi rumah dan sebagainya... dia sebenarnya B40.

"Jadi, apabila kita beralih kepada kaedah pendapatan boleh guna bersih isi rumah, itu secara langsung sebenarnya mengharmonikan kedudukan itu dan dengan pandangan yang lebih adil, yang lebih tepat mengenai kedudukan setiap isi rumah itu," tambahnya lagi.

SITI AISHAH MD ISA