fb fb fb fb fb

Met Malaysia keluar amaran ribut petir di enam negeri hingga 9 pagi

Rakaman secara langsung keadaan di Jalan Ampang setakat pukul 8.37 pagi tadi

KUALA LUMPUR, 6 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di enam negeri termasuk Kuala Lumpur yang dijangka berlaku sehingga pukul 9 pagi hari ini.

Met Malaysia memaklumkan, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau), Johor (Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Selain itu, di Sarawak dijangka mengalami cuaca yang sama di Samarahan Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Sarikei) dan Mukah (Tanjung Manis dan Daro).

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

0611 KL HUJAN 2Keadaan lalu lintas di Jalan Cheras setakat 8.37 pagi tadi

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan berlakunya hujan lebat seawal 7 pagi tadi di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

DBKL dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menggerakkan petugas ke lokasi-lokasi tumpuan untuk memantau keadaan dan membantu memastikan keselamatan semua pihak.

"Kami juga ingin menasihatkan agar semua pemilik kenderaan mematuhi arahan yang diberikan oleh papan tanda dan petugas kami di lapangan.

"Ia bagi melancarkan pergerakan dan mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Sila sentiasa berwaspada dan hati-hati memandu," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN