
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kementerian Ekonomi akan mengadakan satu mesyuarat penyelarasan bagi membincangkan kesan konflik Asia Barat terhadap ekonomi Malaysia.
- Mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Ekonomi, Petronas, BNM dan Kementerian Kewangan untuk menilai impak konflik Asia Barat.
- Kerajaan akan memantau situasi dengan teliti dan bersedia membuat keputusan jika konflik berterusan.
- Harga subsidi RON95 dikekalkan pada RM1.99 seliter untuk mengurangkan kesan kepada rakyat dan peniaga kecil.
Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, mesyuarat melibatkan Petronas, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan.
”Kita bukan nak bincang di peringkat awal, isunya kita nak tengok apa keputusan yang kerajaan perlu diambil kalau konflik ini berterusan.
“Insya-Allah, saya akan selalu mengemas kini apa pun perkembangan yang berlaku, kesannya itu kita cuba minimumkan kepada rakyat dan juga peniaga-peniaga kecil,” katanya menerusi hantaran video di Facebook rasminya malam tadi.
Beliau juga berkata kerajaan akan terus mengekalkan harga subsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter.
”Kementerian Ekonomi sedang memantau dengan teliti apa yang berlaku di Asia Barat tetapi ia tidak memberikan sebarang petunjuk untuk kerajaan membuat sebarang perubahan drastik dari segi dasar kita,” katanya lagi.