fb fb fb fb fb

Mesyuarat khas SPR 4 April bincang tarikh penting PRK DUN Kuala Kubu Baharu

Menara SPR/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Mac - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 4 April ini.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi N06 Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata mesyuarat khas akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sr Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain.

“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, Bab 5 Fasal (5) Perkara LXX, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku dan disahkan oleh SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejurus mesyuarat khas itu nanti, SPR akan mengadakan satu sidang media.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu dalam Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

GRACE AISYAH KEDAYAN