Mesyuarat ASEAN diadakan secara dalam talian tahun ini

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 April -Semua mesyuarat bawah kerangka ASEAN tahun ini akan dilaksanakan secara dalam talian kecuali melibatkan ketua-ketua kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan memaklumkan perkembangan berkaitan mesyuarat ASEAN kepada Jemaah Menteri.
  • Jemaah Menteri menerima taklimat Ketua Setiausaha Negara mengenai pelaksanaan dasar bekerja dari rumah untuk sektor awam.
  • KSN akan umumkan butiran fasa pertama WFH melibatkan beberapa kawasan. Sektor swasta digalakkan menilai langkah serupa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil kira perkembangan semasa.

“Tidak ada mesyuarat secara bersemuka ataupun fizikal, sama ada di Manila ataupun di mana-mana tempat yang lain, kecuali bagi ketua-ketua kerajaan. Dan antara mesyuarat yang akan datang, yang awal yang akan dilaksanakan dalam kerangka ASEAN, adalah mesyuarat bagi Menteri-Menteri Kesihatan, yang mana akan diadakan secara dalam talian,” katanya semasa sidang media mingguan di Angkasapuri, Kota Media, di sini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Jemaah Menteri hari ini telah menerima taklimat terkini daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengenai dasar bekerja dari rumah atau work from home.

Datuk Fahmi berkata, KSN memaklumkan, antara perkara yang sedang diteliti dalam beberapa perkara akhir sebelum boleh diumumkan adalah pelaksanaan bagi sektor awam, bukan hanya bagi Putrajaya, tapi dalam fasa yang pertama melibatkan sejumlah kawasan.

Perkara itu akan diumumkan kemudian oleh KSN bersama maklumat terperinci bagi perkhidmatan awam, manakala sektor swasta, adalah digalakkan untuk meneliti aspek-aspek yang bersesuaian.

Ia mengambil kira setelah berlakunya pandemik tempoh beberapa tahun yang lalu, ada sejumlah syarikat yang memang telah melaksanakan, malah masih terus melaksanakan dasar bekerja dari rumah.