fb fb fb fb fb

Menteri nasihat jangan main mercun selepas tengah malam

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 21 Mac – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bermain mercun dan bunga api selepas 12 tengah malam bagi menjaga ketenteraman awam dan mengelak sebarang risiko keselamatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, walaupun mercun dan bunga api boleh menyemarakkan suasana sambutan Aidilfitri, penggunaannya tetap perlu mematuhi undang-undang.

“Kita ada undang-undang supaya jangan main mercun khususnya selepas pukul 12 tengah malam. Jangan menimbulkan kacau ganggu, walaupun kita tahu mercun dan bunga api menambahkan keceriaan, kemeriahan di Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ops Siaga Raya 2025 sempena Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Ops Siaga Raya merupakan inisiatif kesiapsiagaan JBPM menjelang musim perayaan bagi memastikan keselamatan rakyat dan memperkukuh kehadiran anggota di lokasi strategik seluruh negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN