KUALA LUMPUR, 9 April- Beberapa menteri Kabinet berharap agar sambutan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama bagi mengekalkan keharmonian yang dikecapi selama ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata semua rakyat harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar memberi tumpuan ke arah perpaduan dan merealisasikan masyarakat bersatu padu dengan harmoni.
“Ramadan berlalu hanya dalam sekelip mata. Semoga segala amalan kita diterimaNya, insya-Allah. Sedang kita menikmati juadah, berkunjung-kunjungan dan bermaaf-maafan, jangan kita lupa kepada yang tidak senasib dengan kita.
“Sama-sama kita panjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar saudara-saudara kita yang berada di tengah-tengah konflik dan kekusutan diberikan kekuatan dan keteguhan dalam menghadapi dugaan yang melanda. Selamat Hari Raya, ,maaf zahir dan batin,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menzahirkan harapan agar garapan dan didikan Ramadan serta kemeriahan Aidilfitiri kali ini membawa bersama harapan untuk melihat negara terus mengecapi kemakmuran rakyat berbilang kaum sekali gus menyuburkan benih-benih perpaduan dan persefahaman.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri Datin Seri Norhayati Musa turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam.
“Kami juga mohon ampun maaf zahir dan batin di atas salah dan silap, tutur kata dan perbuatan. Kami pulang beraya di Kedah dan Kelantan dan kembali bertugas pada Isnin minggu hadapan.
“Semoga Aidilfitri ini disambut penuh gembira bersama ahli keluarga dan sahabat handai… Mari kita eratkan silaturahim sesama kita. Moga-moga Allah SWT limpahi rahmah dan keampunan,” katanya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perayaan ini disifatkan sebagai hari kemenangan bagi setiap umat Islam hasil dari ‘peperangan’ menentang musuh dalam jiwa yang terbesar, iaitu hawa nafsu.
“Semoga Allah menerima amal ibadah kita semua. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin,”katanya.- BERNAMA