KAJANG, 20 Disember- Pemimpin masyarakat diseru bersama memobilisasi usaha bagi memastikan hasrat menoktahkan kemiskinan berjaya dicapai.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia memerlukan kerjasama bersepadu melibatkan badan bukan kerajaan (NGO), gerakan swadaya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti perniagaan.
Dalam teks ucapan yang dibacakan Setiausha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Rafi berkata, pengagihaan ekonomi perlu disertai sektor ketiga.
Ini penting bagi memastikan dasar dan polisi yang digarap kerajaan praktikal dan memberi solusi terbaik untuk menangani isu berkenaan.
"Kita semua berhimpun pada hari ini wakil-wakil agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan NGO, pemimpin masyarakat dan sekalian yang hadir untuk berkongsi aspirasi yang sama untuk berganding bahu dengan pemimpin negara untuk mengambil langkah dan merekayasa segala dasar yang dapat menterjemahkan pernoktahan kemiskinan di tanah air.
"Penglibatan semua akan menatijahkan dampak positif dalam usaha kita hendak menaik taraf hidup rakyat", katanya.
Ucapan itu dibacakan pada Majlis Penutup Kongres 'Menokhtahkan Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga' di Kajang.
Kongres berkenaan anjuran bersama Yayasan Basmi Kemiskinan, Benevolent Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Tenaga Nasional.
Sebanyak empat dimensi digagaskan hasil Sidang Meja Bulat yang dibuat pada 23 Ogos lepas sebagai usaha menohktahkan kemiskinan menjelang hujung tahun ini.