KULAI, 18 Julai- Seorang penjual pakaian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas pertuduhan memiliki dua keping wang kertas RM100 palsu, awal bulan ini.
Tertuduh, Cheoh Chuan Wang, 24 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki wang kertas itu yang diketahuinya palsu dengan niat menggunakannya sebagai tulen di sebuah stesen minyak di Batu 21, Kulai pukul 4.00 petang, 1 Julai lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eddlyn Wong manakala tertuduh diwakili peguam, Omar Kutty Abd Aziz.
Tertuduh diberi jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Ogos nanti.
(Foto Hiasan)