MELAKA, 3 Disember - Melaka menubuhkan Pusat Sehenti Usahawan Negeri Melaka, menghimpunkan 10 agensi di bawah satu bumbung yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka, bagi memudahkan para usahawan mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta akses kepada pelbagai agensi berkaitan di bawah satu bumbung.
Antara agensi terlibat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional, Melaka Finance House (MFH), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi urusan pelesenan dan penyewaan premis perniagaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penubuhan Pusat Sehenti Usahawan itu menjadi perintis dalam penyelarasan ekosistem keusahawanan yang lebih sistematik, bersepadu dan responsif terhadap keperluan pembangunan semasa.
“Dalam proses memulakan perniagaan, para usahawan semestinya memerlukan perhatian dan sokongan, khususnya dari segi modal. Di sini, kita turut menyediakan agensi-agensi yang menawarkan pembiayaan kepada usahawan kecil.
"Jadi, kepada rakyat Melaka yang berminat menceburi bidang keusahawanan, kerajaan menyediakan Pusat Sehenti bagi memudahkan mereka memulakan perniagaan serta mendapatkan modal yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Sehenti Usahawan Negeri Melaka di Jalan Hang Tuah, Melaka.
Mengulas lanjut, mengikut statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia Negeri Melaka, daripada 351,008 perniagaan yang berdaftar, hanya 63,119 sahaja yang benar-benar aktif.
Katanya, jurang besar itu memberi isyarat jelas bahawa ramai usahawan masih bergelut untuk bertahan dan lebih sukar untuk berkembang pada skala yang lebih kompetitif.
Justeru itu, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.2 juta menerusi lebih 15 program strategik, termasuk latihan, pembiayaan, bimbingan teknikal dan pendigitalan, bagi memperkukuh kedudukan usahawan tempatan dalam ekonomi moden yang semakin mencabar, sekali gus menyediakan mereka peluang, kemahiran dan sokongan untuk mara lebih jauh.
