JALAN HANG TUAH, 7 Februari - Tindakan tegas bakal diambil terhadap pemaju sebuah kondominium di Bukit Serindit yang didakwa tidak memenuhi spesifikasi rumah seperti yang diiklankan.
Exco Kanan Perumahan Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan mengadakan pertemuan dengan pemaju bagi siasatan lanjut.
"Pemaju juga telah bersetuju untuk berjumpa. Setakat ini, saya difahamkan rumah ini masih dalam tempoh di mana pemaju akan memperbaiki segala kerosakan sekiranya ada.
"Masalah timbul apabila pembeli tidak berpuas hati dengan reka bentuk dan spesifikasi rumah yang tidak sama seperti yang diiklankan.
"Insya-Allah, kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan sambil lewa. Kita akan pastikan isu ini ditangani dengan segera", katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 700 pembeli dua blok kondominium di Bukit Serindit tidak berpuas hati dengan kualiti kondominium itu yang tidak sama seperti yang diiklankan serta mengalami beberapa kerosakan kecil di beberapa bahagian kediaman berkenaan.