BATU BERENDAM, 2 November- Melaka rancang untuk jadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sebagai hab serantau bagi penerbangan antara semenanjung Malaysia dan Indonesia Barat serta Singapura.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagaimanapun berkata perkara itu masih dalam perbincangan bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).
"Melaka adalah lapangan terbang strategik untuk menjalinkan hubungan negara di antara kedua-dua negara. Ia boleh digunakan antara Indonesia ke Melaka dan Melaka ke Singapura.
Terpulanglah kepada syarikat penerbangan tempatan untuk mengambil kesempatan ini untuk menjadi pengantara penerbangan domestik daripada Melaka," kata Ab Rauf kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas perasmian KUAM 2024, di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.
Tambahnya, kerajaan negeri Melaka mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan untuk menawarkan penerbangan domestik ke Melaka sebelum ke dua negara berkenaan.