ALOR GAJAH, 6 Januari- Kerajaan Negeri Melaka menggalakkan penglibatan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Melaka bagi mempromosi negeri itu sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ia termasuk bidang keseniaan, seni lukis dan reka cipta serta menyumbang pantun yang boleh diketengahkan kepada pelancong.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau juga menggalakkan penyertaan pelajar IPT itu pada penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) yang berlangsung di Melaka tahun depan.
"Jadi saya membuka ruang kepada pihak UITM untuk memberikan cadangan dalam kita nk membentuk jati diri sebagai Melaka sebuah negeri yang bersejarah berlandaskan konsep kehebatan kesultanan Melayu Melaka dahulu.
"Kita akan minta UiTM buat satu papan cerita berkenaan sejarah perjalanan orang masuk ke Melaka. Saya juga minta institut bahasa di UiTM supaya mengeluarkan pantun-pantun yang merupakan seni dan budaya diwarisi oleh generasi akan datang," katanya dalam majlis Perasmian Program Wahana Komunikasi dan Penerbitan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di UiTM Lendu di sini.
Dalam pada itu Rauf berkata, penganjuran program seumpama itu merupakan satu pendedahan yang amat baik kepada mahasiswa khususnya dalam bidang kewartawanan.
Ia boleh meningkatkan kefahaman seiring dengan perkembangan dunia baharu pada masa kini selain menyampaikan maklumat semasa dan berita yang sahih.