fb fb fb fb fb

Melaka dijangka jadi tuan rumah Kejuaraan Pencak Silat Dunia

Datuk Megat Zulkarnain Omardin

ALOR GAJAH, 10 Disember- Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) memberi bayangan Melaka sekali lagi akan menjadi tuan rumah Kejuaraan Pencak Silat Dunia selepas penganjuran di negeri itu pada tahun lalu disifatkan sebagai yang terbaik dalam sejarah kejohanan. 

Presidennya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, perkara itu berikutan PESAKA menerima permohonan dari seluruh dunia untuk meminta Malaysia menjadi tuan rumah sekali lagi. 

Pihaknya juga telah menghantar senarai tarikh penganjuran kejohanan silat tersebut untuk disesuaikan dengan takwim Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa bagi mengelakkan pertindihan.

"Jadi kita telah menghantar takwim kita kepada Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa. Sekarang tinggal untuk digabungkan, kerana kita tidak mahu berlaku pertindihan jadual semasa kejuaraan tersebut.

"Jadi kita mencadangkan untuk mengadakan kejuaraan itu sekitar pertengahan tahun sama ada Jun, Julai atau Ogos. Sekiranya dipersetujui maka kita akan buat pada tarikh yang dicadangkan," katanya dalam majlis perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-44 Tahun 2023 di sini.

Megat Zulkarnain turut mengulas lanjut berkenaan penambahbaikkan akan dilakukan termasuk jangkaan akan menerima lebih banyak penyertaan dari negara-negara baharu terutama dari Asia Tengah dan Asia Barat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI