fb fb fb fb fb

Melaka bakal terima 200,000 pelancong

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

AYER KEROH, 20 Ogos- Kerajaan Negeri Melaka bakal menerima kehadiran 200,000 pelancong dalam tempoh setahun, selepas kapal persiaran mewah 'Genting Dream Cruise' memperkenalkan pakej '2 Night Cruise' dan menjadikan negeri itu sebagai salah satu persinggahan.
 
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelayaran yang bermula November depan, secara tidak langsung mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024.

Katanya, kapal persiaran mewah berkenaan akan berlepas dari Singapura merentasi Selat Melaka selama 52 minggu.
 
Ia seterusnya akan singgah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) selama 12 jam.

"Memang Tahun Melawat Melaka kita telah menerima 8.7 juta pelancong dan dengan kehadiran ini ia akan menambahkan lagi nisbah baru dalam kehadiran pelancong ke Melaka.

"Oleh itu kita ucapkan terima kasih kepada Genting Dream Cruise kerana memilih Melaka sebagai tempat persinggahan setiap Isnin. Orang Melaka boleh tengok Genting Dream Cruise bermula pukul 8.00 pagi dan akan bertolak balik ke Singapura pukul 8.00 malam. Jadi kita berpeluang jadikan Melaka sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong dunia," katanya dalam sidang media di Seri Negeri, di sini.

Sementara itu, Presiden Resort World Cruises, Michael Goh berkata, pelayaran itu membolehkan penumpang merasai pengalaman indah ketika berada di Melaka.

"Jadi pelancong antarabangsa yang menaiki Genting Dream Cruise ini berpeluang menerokai keindahan Melaka.

"...seperti kita maklum Melaka adalah lokasi pelacongan menarik kerana terdapat sejarah, makanan peranakan dan pelbagai menu tempatan dan antarabangsa," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI