AYER KEROH, 23 Oktober -Melaka bakal muncul sebagai hab penerbangan dan pendidikan teknikal serantau menerusi pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kawasan seluas tujuh hektar di LTAM dikenal pasti bagi pelaksanaan fasa pertama projek yang dijadual bermula pada tahun 2026.
Projek berkenaan dijangka membawa pelaburan melebihi RM300 juta dan membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor penerbangan.
“Fasa pertama akan menempatkan pusat latihan penerbangan helikopter untuk melahirkan juruterbang, hab penyelenggaraan helikopter (MRO), serta pusat logistik dan ekosistem berkaitan industri penerbangan.
Projek ini akan diusahakan oleh Weststar dengan komitmen penyertaan daripada 41 syarikat yang bakal berpindah ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat mengenai pembangunan projek berkenaan di sini, hari ini.
Datuk Seri Ab Rauf optimis, projek tersebut akan memberi impak jangka panjang terhadap pembangunan ilmu, kemahiran dan masa depan anak muda Melaka dalam bidang penerbangan.