fb fb fb fb fb

MEKAR Ihsan JPN, permudah urusan OKU dan pesakit terlantar

Foto JPN

LABUAN, 23 Mac- Seramai tujuh pemohon kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang pesakit terlantar menerima perkhidmatan MEKAR Ihsan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Labuan.
 
Ia inisiatif JPN dalam memberikan perkhidmatan kepada golongan yang tidak berkeupayaan, memperoleh dokumen pengenalan diri yang sah dari rumah.
  
Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) JPN adalah aspirasi Malaysia MADANI memberi keutamaan kepada warga emas, (OKU), pesakit terlantar, pesakit mental, serta pesakit kronik yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke pejabat JPN mendapatkan perkhidmatan JPN.
 
Di bawah manfaat Inisiatif Belanjawan 2024, JPN Labuan telah menerima set peralatan mudah alih bagi membolehkan perkhidmatan JPN diberi kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira lokasi dan situasi.
 
JPN Labuan turun padang ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Labuan bagi memudahkan urusan permohonan dan gantian kad pengenalan.
 
Pada masa sama, melalui perkhidmatan MEKAR Komuniti, tiga permohonan kad pengenalan diterima melalui sesi itu.
 
Ini sekali gus membuktikan keberkesanan program dalam memberikan kemudahan pendaftaran kepada masyarakat yang berdepan kekangan tertentu.
 
Program diketuai Pengarah JPN Labuan, Azmee Latun bersama-sama Pengarah Bahagian MEKAR dan Korporat JPN Putrajaya, Mohammad A’sim Md Ali.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM