RAUB, 13 Disember- Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) berjaya menyiapkan projek penaiktarafan infrastruktur komuniti bernilai RM1 juta di Kampung Jeram Besu, di sini, sempena pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025.
Projek yang dilaksanakan dalam tempoh 14 minggu bermula 1 September hingga 9 Disember lalu itu memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf Masjid Kampung Jeram Besu serta membaik pulih Tabika KEMAS kampung berkenaan bagi keselesaan penduduk setempat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan program berkenaan yang berjaya meningkatkan kemudahan asas masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, usaha itu bukan sahaja memperkukuhkan kesejahteraan rakyat, malah mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan pembangunan desa terus diberi keutamaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias berkata, pihaknya berbangga dapat menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti melalui pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, penambahbaikan kemudahan masjid, tabika dan infrastruktur asas tersebut selaras dengan mandat kerajaan bagi memastikan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan yang lebih selesa, selamat dan berdaya maju.
Menurutnya lagi, Projek Kampung Angkat MADANI 2025 merupakan projek kedua yang dilaksanakan oleh MDIO selepas kejayaan projek pertama di Sekolah Angkat MADANI, Sekolah Kebangsaan Gembut, Kota Tinggi, Johor.
Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif nasional yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024, bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara kawasan desa dan bandar melalui pendekatan whole of government.
Sehingga kini, kira-kira 83,000 penduduk daripada 43 kampung di seluruh negara menerima manfaat langsung daripada peruntukan kerajaan berjumlah RM107 juta menerusi pelaksanaan program berkenaan.