BERA, 13 Januari- Sebanyak 8,756 kandungan berkaitan buli siber telah diturunkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang tahun 2024.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, angka tersebut menunjukkan peningkatan yang besar, berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 1,763 pada 2023.
"Angka ini turut menunjukkan peningkatan yang sangat membimbangkan kerana pada tahun 2023 kandungan sebegini yang telah diturunkan adalah sebanyak 1,763 dan didapati bahawa angka ini meningkat lebih kepada 8,000.
"Kita semua perlu lebih berhati-hati dan bijak dalam menggunakan platform digital, serta sentiasa menjaga etika dalam berkomunikasi. Beringatlah untuk klik dengan bijak dan semak sebelum sebar", katanya.
Justeru katanya, program Klik Dengan Bijak (KDB) iaitu penggunaan dalam talian secara positif, beretika, selamat dan bertanggungjawab akan terus dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi mendidik rakyat dari peringkat akar umbi.
Beliau berucap semasa Lawatan Kerja ke Sekolah Kebangsaan Bukit Rok, Bera, Pahang.
Pada lawatan itu, beliau turut melakukan ujian kualiti liputan perkhidmatan 4G dari menara JENDELA di Bukit Rok, yang kini telah menepati piawai, hasil penambahbaikan oleh pihak MCMC dan syarikat penyedia perkhidmatan CelcomDigi.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 191 menara baharu telah dibina menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Pahang, termasuk 18 daripadanya di kawasan Parlimen Bera, iaitu (3) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, (5) di DUN Triang dan 10 di DUN Kemayan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 menara telah pun beroperasi termasuk di Kampung Bukit Rok, manakala baki enam unit iaitu (1) di DUN Guai dan (5) di DUN Kemayan dijangka beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung suku pertama 2025.
Selain itu, lima menara baharu turut dibina di kawasan penempatan orang asli iaitu di Kampung Bukit Rok, Kampung Bukit Gemuruh dan Kampung Sungai Tuang yang telah beroperasi.
Manakala, dua lagi di Kampung Gaquyah dan Kampung Kuin Lenguit, masih dalam pelaksanaan menerusi pelan JENDELA, daripada 18 yang dirancang di bawah Parlimen Bera.