KUALA LUMPUR, 4 April- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan siasatan berhubung hantaran mesej tersusun palsu yang memburukkan kerajaan yang mendakwa tiada pertandingan majlis tilawah al-Quran bagi tahun ini.
Semua yang terlibat dalam hantaran mesej berkenaan telah dikenal pasti dan pihak MCMC akan memanggil mereka untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, penyebaran fitnah berkenaan adalah tindakan jahat terhadap bukan sahaja kerajaan tetapi juga melibatkan agama Islam dan juga institusi raja-raja.
"Saya sebut sekali lagi kenyataan yang telah dibuat oleh Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain daripada pihak MCMC untuk tidak memasukkan memuat naik bahan, hantaran ataupun komen yang bersifat perkauman yang menyentuh agama Islam menyentuh isu 3R (perkauman, agama dan raja), berhati-hati kerana kita telah diminta bertindak lebih tegas," katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.
Fahmi berkata, pihaknya mengesan hantaran mesej tersusun itu sudah bermula sejak Februari lalu.
Pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak lebih tegas bagi meredakan keadaan dan menangani tindakan individu yang menghasut rakyat.