fb fb fb fb fb

MCMC lantik syarikat rangkaian mudah alih elak monopoli dwirangkaian 5G

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR, 3 Julai - Kementerian Komunikasi komited melaksanakan peralihan kepada model dwirangkaian 5G, dalam usaha untuk menamatkan unsur monopoli perkhidmatan 5G.

Ini sekali gus memacu hala tuju industri telekomunikasi yang lebih berdaya saing dan mapan, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Menurut Teo, pihak syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih (MNO) iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan dan YTL Communications telah menyempurnakan Perjanjian Langganan Saham (SSA) untuk memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk memulakan proses menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia.

"Ini termasuklah mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon atau Applicant Information Package (AIP) pada 1 Julai 2024.

"Proses ini akan dilaksanakan secara telus berdasarkan kuasa dan peruntukan yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambahnya lagi, struktur pegangan saham dalam DNB bagi setiap pelabur diselaraskan kepada 30 peratus bagi Menteri Kewangan Diperbadankan dan 14 peratus untuk setiap MNO.

"Setelah pihak Telekom Malaysia (TM) menyempurnakan perjanjian langganan sahamnya bersama Menteri Kewangan Diperbadankan dan DNB pada atau sebelum 21 Ogos 2024," ujarnya.

Katanya, perjanjian SSA tersebut melayakkan pihak syarikat penyedia perkhidmatan yang terlibat untuk menyertai model dwirangkaian 5G di Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN