KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Satu badan penasihat telah dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meneliti kesesuaian untuk meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012.
Tindakan tersebut seiring dengan perkembangan dan transformasi perkhidmatan kurier tempatan.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata proses bagi menyiapkan laporan berkenaan pindaan akta tersebut akan mengambil masa antara lapan hingga 12 bulan.
"Kita harap selepas itu kerja-kerja untuk mengusahakan pindaan kepada Akta Perkhidmatan Pos dapat dilakukan. Kita jangka sekiranya semua berjalan dengan lancar ia masih akan mengambil sedikit masa untuk lakukan usaha-usaha menulis draf rang undang-undang tersebut maka pindaan itu mungkin kita akan dapat disaksikan paling awal mungkin tahun 2026," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pos Sedunia 2024 sekali gus merasmikan edisi khas setem di ibu negara.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, dan Timbalannya, Mano Verabathran.
Tema sambutan tahun ini adalah "150 tahun memudahkan komunikasi dan memperkasakan rakyat merentasi sempadan,"
Pos Malaysia, menerusi Pos Laju telah dianugerahkan penarafan 4 bintang dalam program MyKurier, dengan kerjasama MIROS dan Postal Forum.
Selain itu, kurier itu juga telah diiktiraf sebagai penyedia perkhidmatan kurier terpantas dan paling dipercayai pada Anugerah Penarafan Bintang MCMC 2023 untuk Industri Pos dan Kurier.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan Fahmi memaklumkan pengunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak akan mengambil alih peranan manusia dalam sektor pekerjaan.
Malah katanya, penggunaan AI akan membantu memantapkan penggunaan tenaga kerja supaya lebih efisien dalam meningkatkan mutu perkhidmatan .
Tegas Fahmi, tidak timbul isu kehilangan pekerjaan dengan penggunaan AI, hanya skop pekerjaan yang akan berubah.