MCMC ambil tindakan perundangan terhadap platform X

Foto hiasan

CYBERJAYA, 13 Januari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp. (dahulunya Twitter) dan xAI LLC susulan kegagalan kedua-dua entiti itu memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan, Grok.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC bersama Kementerian Komunikasi memulakan tindakan undang-undang terhadap X Corp. dan xAI LLC berhubung Grok.
  • Grok disalahgunakan untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya, termasuk imej manipulasi tanpa persetujuan.
  • Notis dikeluarkan 3 dan 8 Januari 2026; syarikat belum mengambil tindakan pemulihan.
  • MCMC menegaskan tanggungjawab platform untuk kawalan sistem, penguatkuasaan dasar dan perlindungan pengguna.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Siasatan mendapati Grok telah disalahgunakan untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya, termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.

“Perkara itu lebih membimbangkan apabila kandungan yang didakwa terlibat melibatkan wanita dan kanak-kanak, yang jelas menyalahi undang-undang Malaysia serta bercanggah dengan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCMC telah mengeluarkan notis rasmi kepada X Corp. dan xAI LLC masing-masing pada 3 dan 8 Januari 2026, yang mengkehendaki kandungan menyalahi undang-undang tersebut dihapuskan dengan segera. Bagaimanapun, sehingga kini, tiada tindakan pemulihan diambil oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

MCMC menegaskan bahawa X Corp. dan xAI LLC tidak terlepas daripada tanggungjawab, walaupun kandungan berkenaan dijana oleh pengguna. Kedua-dua entiti itu kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk sistem, pelaksanaan teknologi, mekanisme penyeliaan serta langkah mitigasi risiko berkaitan penggunaan Grok.

Menurut suruhanjaya itu, tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi, khususnya apabila melibatkan kandungan yang berpotensi memudaratkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

MCMC turut mengambil maklum kegagalan X Corp. dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri, yang berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia.

Dalam pada itu, MCMC menegaskan komitmen berterusan untuk menegakkan undang-undang negara dan melindungi kepentingan awam, selain memastikan ruang digital kekal selamat dan bertanggungjawab.

Semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada pengguna di negara ini diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya keperluan undang-undang dan kawal selia yang berkuat kuasa.