KUALA LUMPUR, 13 April- Seramai 37 orang mahasiswa institusi pengajian tinggi yang terjejas akibat insiden kebakaran di Putra Heights menerima sumbangan komputer riba daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sumbangan tersebut bertujuan memudahkan urusan pembelajaran dan komunikasi para pelajar yang kehilangan peralatan utama mereka dalam tragedi itu.
Selain itu, MCMC turut mengagihkan peranti telefon bimbit kepada ketua isi rumah yang terkesan serta komputer riba kepada sekolah-sekolah sekitar kawasan terbabit.
Menurut kenyataan MCMC, sebanyak 302 unit komputer riba akan diagihkan secara berperingkat — merangkumi 37 unit untuk mahasiswa dan 265 unit kepada sekolah yang terjejas. Manakala 620 unit telefon bimbit pula disalurkan kepada ketua isi rumah terlibat.
"Penyerahan peranti dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu majlis ringkas.
"Pengagihan bantuan akan diteruskan dalam tempoh terdekat secara berperingkat mengikut senarai penerima yang telah disahkan," menurut kenyataan MCMC.