fb fb fb fb fb

MBPP terima 20 laporan pokok tumbang akibat ribut

Foto: FB Majlis Bandaraya Pulau Pinang - MBPP

GEORGE TOWN, 15 September- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima 20 laporan berhubung pokok atau dahan tumbang di beberapa kawasan di sebelah pulau negeri itu berikutan hujan lebat dan angin kencang, tengah malam tadi.

MBPP menerusi hantaran di Facebook memaklumkan laporan diterima antara 1 pagi dan 7 pagi tadi dan kerja-kerja mengalihkan serta membersihkan pokok tumbang dan dahan patah segera dijalankan oleh skuad pantas Pihak Berkuasa Tempatan.

"Semua kawasan terbabit kini selamat digunakan orang awam. Antaranya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu / persimpangan Kondominium N Park, Relau, Jalan Kampung di Batu Maung, Persiaran Bukit Jambul, Jalan Sungai Dua, Jalan Residensi, bulatan besar Bayan Baru, Cangkat Minden, Hilir Nibong 1 dan Jalan Kenari,’’ menurut hantaran itu.

Turut dimaklumkan tiada kemalangan jiwa dan kecederaan mahupun kenderaan rosak dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata sebanyak 10 rumah di kawasan tersebut mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan angin kencang semalam.

Menurutnya, beliau sendiri telah melihat kerosakan yang berlaku dan turut mengatur proses baik pulih rumah terlibat, yang kebanyakannya mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin kencang.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI