fb fb fb fb fb

MATTA berperanan dalam perkembangan industri pelancongan Sarawak

Foto RTM

KUCHING, 31 Ogos - Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) yakin Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dapat memainkan penting ke arah menjadikan Sarawak sebagai Gerbang Borneo.

Berucap merasmikan Pameran MATTA di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini, Timbalan Setiausaha Tetap MTCP, Desmond Douglas Jerukan memberitahu, Sarawak perlu bersiap siaga dalam menghadapi kesan limpahan daripada pembangunan Nusantara, ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

Justeru itu, industri pelancongan merupakan antara industri penting yang berperanan dalam memacu perkembangan ekonomi Sarawak selari dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030.

Dalam pada itu, menjelang Tahun Malawat Malaysia 2026, pemain industri tempatan perlu meletakkan diri secara strategik sejajar dengan usaha Kerajaan Persekutuan mempromosikan Malaysia amnya dan Sarawak khususnya di persada dunia.

Justeru, beliau berharap semua pihak berkaitan terutamanya MATTA akan terus memperkasakan industri pelancongan di negeri ini.

Sebanyak 82 reruai pameran dan jualan pakej-pakej pelancongan daripada agensi-agensi dari dalam dan luar negara terlibat dalam penganjuran Pameran MATTA kali ini yang berlangsung bermula hari ini hingga 1 September depan.

Turut hadir ialah Pengerusi MATTA Sarawak Chapter Oscar Choo, Presiden MATTA, Nigel Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Amelia Roziman.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD