KUANTAN, 27 Ogos - Penduduk Perumahan Taman Balok Permai, di sini mengadakan pelbagai aktiviti sempena menyambut Bulan Kemerdekaan.
Program anjuran Kelab Rukun Tetangga (KRT) Balok Permai itu yang disertai lebih 200 penduduk dilaksanakan, selari dengan tema pada tahun ini 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.
Ketua Program, Norhisham Jusoh berkata antara program yang dijalankan adalah perarakan motosikal dan basikal, perarakan basikal berhias, pertandingan rumah merdeka, pertandingan seni kreatif dan pertandingan pakaian beragam.
Katanya, program tersebut telah melibatkan pelbagai peringkat masyarakat, bermula daripada kanak-kanak sehingga warga emas demi menyemai semangat patriotik dan menjadi contoh dalam kalangan generasi muda.
(Sekitar program aktiviti sempena menyambut Bulan Kemerdekaan)
"Secara tidak langsung kita telah memberi peluang atau memberi satu penghayatan kepada warga khususnya warga Balok Permai tentang erti kemerdekaan dan untuk acara pada pagi ini kita ada konvoi berbasikal, motosikal, acara silat, dan acara menari," kata Norhisham di sini.
Sementara itu, rata-rata penduduk gembira kerana diberi peluang untuk menyambut bulan kemerdekaan bersama jiran tetangga mereka.
"Banggalah saya sebagai rakyat anak Malaysia, kalau tahun depan kalau boleh kita membangkit lagi keceriaan anak-anak kita seolah-olah mereka baru dilahirkan, apa juga perjuangan merdeka kita nak beri ia lagi bermakna akan datang ini," kata Mohd Zulkifli Mahmud.
"Harap program ini dapat penghayatan lebih lagi kepada anak-anak dalam taman ini supaya mereka tahu apa itu erti kemerdekaan," kata Zaidah Samsudin.
Penduduk berharap program seperti itu dapat dijadikan sebagai acara tahunan KRT tersebut demi memberi penghayatan yang meluas kepada generasi muda mengenai erti kemerdekaan.