Masyarakat India terima inisiatif baharu bernilai lebih RM42.25 juta – PM

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Masyarakat India bakal menikmati pelbagai inisiatif baharu bernilai lebih RM42.25 juta bagi memperkukuh pembangunan pendidikan dan kebajikan komuniti itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan lancar inisiatif baharu bernilai lebih RM42.25 juta untuk pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat India.
  • Program tuisyen percuma disediakan bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar komuniti India.
  • Inisiatif Peranti Siswa akan memberikan komputer riba kepada pelajar untuk sokongan pembelajaran digitalen.
  • MITRA akan melaksanakan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah bagi memperbaiki kemudahan pendidikan.
  • Usaha ini bertujuan memastikan masyarakat India menikmati kemajuan negara secara adil dan inklusif.

Beliau berkata, inisiatif tersebut meliputi program tuisyen percuma, pemberian komputer riba melalui inisiatif Peranti Siswa, serta penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

“Langkah ini sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan masyarakat India turut merasai limpahan kemajuan negara secara adil dan inklusif,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam Perdana Menteri Anwar meluangkan masa meninjau persiapan masyarakat Hindu menjelang sambutan Deepavali di Little India, Brickfields.

Beliau turut menikmati minum petang bersama pengamal media Tamil dan pempengaruh media sosial sambil bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa serta meninjau gerai jualan di bazar Little India.

“Semoga sambutan Deepavali tahun ini diraikan dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan semangat perpaduan,” katanya.