KUALA LUMPUR, 3 November - Masjid perlu dilihat sebagai medium perubahan yang mampu mengubah minda dan mendidik masyarakat tentang nilai dan adab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata usaha itu selaras seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan masjid pusat pengajian ilmu Islam menerusi tausiyah.
"Kemuncaknya kita jemput Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor untuk memberikan tausiyah dan Alhamdulillah dalam tempoh setengah jam beliau telah banyak bercakap berkaitan kepentingan perpaduan dan adab perselisihan pandangan.
"Jadi mungkin intisari yang disebut itu walaupun berlainan politik kefahaman dan sebagainya yang penting beliau mengajak untuk kita umat Islam untuk bersatu kerana jika kita berpecah belah disitulah akan menyebabkan kegagalan umat Islam ini," kata Dr Na’im kepada media selepas selepas menghadiri Majlis Ilmu Madani anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Masjid Jamek, Kampong Baru Kuala Lumpur.
Lebih 700 jemaah hadir mengikuti tausiyah bertajuk, ‘’Hayati Persamaan, Raikan Perbezaan" yang mengajar masyarakat untuk saling hormat menghormati sesama kaum.