KUALA LUMPUR, 24 Ogos- Barisan Nasional (BN) dan UMNO bergerak secara solo atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih awal untuk diputuskan oleh kepimpinan parti.
Sebaliknya Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kepimpinan parti akan meneliti secara mendalam berhubung perkara itu apabila tiba masanya.
"Sebab kita tidak boleh menilai diri kita sekarang untuk 2027. Bila sampai masa dah hampir nak pilihan raya nanti, kita lihatlah bagaimana keadaan ataupun kekuatan parti kita.
"Kalau tak boleh bergerak solo, kita memerlukan rakan untuk kita menghadapi pilihan raya juga kita akan fikirkan pada ketika itu. Sekarang ini adalah tidak adil untuk kita menilai diri kita sekarang untuk 2027," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Laman Media di Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini.