fb fb fb fb fb

Masalah kesihatan mental libatkan kanak-kanak dan remaja meningkat

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur 5 hingga 15 tahun meningkat kepada 16.5 peratus atau 922,318 tahun lalu daripada 7.9 peratus atau 424, 000 pada 2019.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata ia berdasarkan tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Dr. Dzulkefly berkata ia adalah peningkatan sebanyak dua kali ganda.

"Bagi menangani isu yang amat membimbangkan itu, KKM telah melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah iaitu kolaborasi di antara KKM dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilaksanakan di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah," katanya.

Tambah Dr. Dzulkefly, KKM juga menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 Klinik Kesihatan, 63 hospital, dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN