fb fb fb fb fb

Masalah disiplin remaja antara tiga cabaran utama dihadapi kaum ibu

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Ayer Keroh di sini

AYER KEROH, 12 Mei - Masalah disiplin remaja, pendidikan anak dan perbelanjaan keluarga antara tiga cabaran utama yang dihadapi para ibu pada masa kini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Katanya perkara itu adalah berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5).

Malah katanya, Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) menunjukkan skor Indikator Kualiti Masa Bersama Keluarga dan Indikator Imbangan Masa Kerja - Keluarga 2022, mencatatkan kemerosotan berbanding indeks pada 2019.

Ini berikutan rata-rata ibu yang bekerja banyak menghabiskan masa dengan rutin harian yang padat.

"Mereka perlu bangun seawal pagi bagi menguruskan anak dan keluarga, keluar bekerja dengan purata masa lapan hingga 10 jam sehari, pulang ke rumah lewat petang atau awal malam dan terus menyambung tugasan sebagai seorang isteri dan ibu di rumah.

"Namun begitu, kita harus sedar bahawa tanggungjawab dalam membesarkan anak  dan mengurus rumah bukanlah semata-mata tugas seorang ibu sahaja.

"Oleh itu, adalah penting bagi para suami untuk memahami dan menghargai sumbangan isteri mereka, serta turut berkongsi tanggungjawab dalam mengurus rumah tangga dan anak-anak," kata Nancy, di sini.

Beliau berucap dalam Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan yang dihadiri Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Pusat Keluarga, Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka, di sini.

Pada majlis itu juga Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Rahamah Mokhtar, 61 tahun atas kecekalan dan pengorbanan beliau dalam membesarkan lapan orang anak termasuk seorang anak yang menghidap Cerebral Palsy.

Dalam pada itu, seorang Rahamah  terkejut dan terharu apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah itu empena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan tahun ini.
 
Menurut Rahamah yang menetap di Meru, Selangor dia hanya mengetahui mengenai anugerah tersebut, semalam selepas dimaklumkan anaknya.
 
Berkongsi mengenai hidupnya, beliau mengakui pelbagai cabaran dilalui termasuk berhenti kerja sebagai seorang guru demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak.

Adakala diri terasa putus asa, namun beliau mengambil langkah dengan mendapatkan khidmat kaunseling selain menerima sokongan daripada anak-anak, keluarga, rakan-rakan serta jiran tetangga.
 
"Apabila rasa sedih dan penat makcik pergi ke khidmat kaunseling dekat Meru, Klang. Kita perlu cari seseorang yang boleh beri kita semangat," katanya.

Anaknya, Amirah Nasihah Azmi berkata dia mencalonkan ibunya bagi anugerah berkenaan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan beliau.
 
"Sebagai anak saya sangat kagumlah sebab saya pun kalau saya di tempat dia saya tak pasti sama ada saya mampu untuk lalui apa yang ibu lalui. Saya sangat kagum dan terima kasih lah sebab dia berjaya besarkan kami semua lapan," kata Amirah.

TETITIA YUSOFF