
KANGAR, 16 Mac – Majlis Mahasiswa Anak Perlis (MARLIS) bersama gabungan persatuan mahasiswa anak Perlis di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menganjurkan Program PUTERA Ramadan Smash Fest 2026.
- Program sukan berkebajikan sempena Ramadan memupuk nilai keprihatinan, ukhuwah, tanggungjawab, empati, rahmah dan amal.
- Sumbangan kepada 14 anak yatim: duit raya dan raket badminton diserahkan menjelang Aidilfitri.
- Program dilaksanakan bersama beberapa jabatan, persatuan pelajar dan pertubuhan kebajikan negeri secara kerjasama.
Ia melibatkan mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Inisiatif program sukan berkebajikan bersempena Ramadan itu mendukung nilai keprihatinan, ukhuwah, tanggungjawab, empati, rahmah dan amal yang menghimpunkan belia dan mahasiswa dalam suasana yang sihat dan aktif dengan menyantuni anak yatim menjelang Aidilfitri.
Pengerusi Majlis Mahasiswa Anak Perlis (MARLIS), Rifqie Aiman Mohd Salehuddin memaklumkan, selain bersukan, turut diraikan 14 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh dengan sumbangan duit raya dan raket badminton.
“Kebersamaan mahasiswa dan belia anak negeri Perlis amat penting…walau sejauh mana pun kita menuntut ilmu, di mana sahaja kita berada, bila berkesempatan atau pun balik pulang bercuti itu kembalilah untuk sama-sama kita menabur bakti ke tempat asal usul kita,” jelas beliau pada Program PUTERA Ramadan Smash Fest 2026 yang diadakan di Dewan Badminton, Majlis Sukan Negeri Perlis, di sini.
Program tersebut dilaksanakan menerusi Biro Akademik Persatuan Amal Bakti Perlis bersama rakan strategik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Perlis (JPPM), Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional Negeri Perlis (JPNIN), KRT Perumahan Behor Lateh Kayang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Skuad Yayasan Pelajaran MARA Negeri Perlis serta Persatuan Badminton Perlis.