fb fb fb fb fb

Maritim tahan 10 nelayan warga Myanmar di perairan Perak

Foto FB Maritim Malaysia

LUMUT, 19 November - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot tempatan kelas C  bersama sepuluh nelayan warga Myanmar di kedudukan 9.5 dan 9.1 batu nautika barat daya Sungai Tiang Perak, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata penahanan dilakukan semasa rondaan rutin menerusi OP SAYONG, OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot itu dikendalikan oleh dua tekong bersama lapan kru berumur antara 20 hingga 36 tahun. 

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua tekong gagal mengemukakan dokuman pengenalan diri dan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya menerusi kenyataan.

Kata Mohd Hambali, kesemua nelayan ditahan manakala bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN