(Foto Maritim)
KOTA TINGGI, 29 Mac- Cubaan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia masuk ke negara ini secara haram melalui perairan Tanjung Bulat, Kota Tinggi, Johor, awal pagi tadi digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili.
Kesemua mereka termasuk seorang pembantu tekong ditahan bersama bot gentian kaca dinaiki, di kedudukan 0.3 batu nautika Tanjung Bulat, kira-kira pukul 5 pagi.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata aset Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi sebaik menerima makluman awam dan berjaya memintas bot berkenaan.
Semua lelaki berusia 23 hingga 53 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Bot dan semua PATI di siasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.
"Maritim Malaysia menegaskan dan menasihati warga Indonesia yang ingin datang ke Malaysia atau pulang ke kampung halaman terutamanya pada musim perayaan supaya menggunakan laluan yang sah mengikut undang-undang tanpa perlu menggadai nyawa," kata Komander Maritim Mohd Najib dalam kenyataan hari ini.
(Semua lelaki yang ditahan berusia 23 hingga 53 tahun dan
tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah/Foto Maritim)